Rahsia Pelaburan Emas - http://www.etikaemas.my/



****Halaman web utama Etika Emas.my akan ditutup sementara untuk memberi laluan kepada sorotan perkembangan sisatan Bank Negara terhadap Etika Emas****
 
23 Julai 2009,
11 pagi

Kenyataan Akhbar Etika Emas Estet Sdn Bhd pada 22 Julai 2009

Pada 21 Julai 2009 (Selasa), Unit Penyiasatan Khas, Bank Negara Malaysia telah menjalankan siasatan ke atas syarikat Etika Emas Estet Sdn Bhd (EEESB) kerana terdapat beberapa syarikat berkaitan emas yang  dipercayai menjalankan aktiviti pengambilan deposit secara haram.

EEESB telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak BNM menjalankan siasatan. EEESB yakin dan percaya bahawa tiada sebarang aktiviti tidak sah telah dilakukan sepanjang ianya menjalankan perniagaan sejak Mei 2007. Kenyataan ini adalah berdasarkan kepada fakta-fakta berikut :

  1. EEESB adalah sebuah syarikat “professional trader” yang menjual dan BUKAN melabur emas. Pelanggan menerima emas dari setiap pembelian. Semua urusniaga pembelian emas antara  pelanggan dengan EEESB yang mana  emas fizikal (dan bukan pelaburan emas) diserahkan kepada pelanggan berserta dengan resit pembelian, aku janji aqad, surat perjanjian dan sijil ketulenan. Pembelian cara ini adalah sama seperti pembelian di mana-mana kedai emas di Malaysia;

  2. Pada 28/08/2008, EEESB melalui peguamnya telah menghantar surat rasmi berserta dokumen-dokumen penting seperti model perniagaan, analisis risiko, pengurusan risiko, maklumat pembekal, dan lain-lain maklumat penting kepada Jabatan Pentadbiran Pertukaran Asing (JPPA), Bank Negara Malaysia. Sebagai balasan, EEESB melalui peguamnya telah menerima satu surat yang ditandatangani oleh Pengarah JPPA Bank Negara Malaysia pada 11 September 2008 yang membenarkan EEESB untuk menjalankan aktiviti perdagangan emas fizikal termasuk membeli, meminjam, menjual, dan mengeksport, (Sila rujuk Lampiran A);

  3. Walaupun surat dari JPPA telah dikeluarkan, EEESB telah mengambil langkah proaktif dengan menghantar surat rasmi berserta dokumen-dokumen penting seperti yang dinyatakan pada para 2 di atas kepada Jabatan Undang-Undang Bank Negara Malaysia untuk mendapatkan pandangan dan nasihat berkenaan model perniagaan yang dijalankan oleh Etika Emas. Ianya telah dihantar pada 14 November 2008. Walau bagaimanapun, EEESB tidak menerima sebarang jawapan dari Bank Negara Malaysia sehinggalah peguam syarikat menghantar sekali lagi dokumen-dokumen berkenaan pada Jabatan Undang-Undang Bank Negara Malaysia pada 10 Mac 2009. Sebagai balasan, EEESB melalui peguamnya telah menerima satu surat yang ditandatangani oleh Pengarah Jabatan Undang-Undang Bank Negara Malaysia pada 2 April 2009. Walau bagaimanapun, surat jawapan yang diberikan oleh Jabatan Undang-Undang BNM (Sila rujuk Lampiran B) tidak menyatakan secara khusus sama ada model perniagaan yang dijalankan oleh EEESB bercanggah dengan mana-mana akta di bawah seliaan BNM;

  4. Berdasarkan senario dari para 1 hingga para 3, EEESB telah mengambil keputusan untuk menjalankan model perniagaan (sila rujuk lampiran C) di bawah naungan Koperasi Etika Emas Malaysia Berhad (KEEMB), sebuah entiti yang bernaung di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Berdasarkan perkara 11 (1) di bawah Undang-Undang Kecil KEEMB, keanggotaan koperasi secara khusus adalah terbuka kepada semua pelanggan-pelanggan, pekerja-pekerja, ahli keluarga, serta subsidiari dan syarikat bersekutu Etika Emas Estet Sdn Bhd;

Berdasarkan kronologi di atas, EEESB telah menjalankan semua tanggungjawab sebagai warga korporat yang bertanggungjawab penuh kepada pelanggannya dan pihak berwajib dengan merujuk kepada semua syarat dan keperluan institusi, badan dan pihak yang terlibat di dalam perniagaan kami dan sehingga kini kesemua institusi termasuk BNM, melalui beberapa siri perjumpaaan dan nasihat telah  dapat memantapkan modus operadi dan aktiviti perniagaan EEESB. Kami bekerjasama dan mengalukan siasatan rutin BNM ke atas peniaga-peniaga emas untuk memberi keyakinan kepada pelanggan, pembeli emas dan pihak awam supaya tiada perkara-perkara terlarang seperti “illegal deposit taking” dan “money laundering” berlaku.

Perlu ditekankan di sini bahawa EEESB hanya menjalankan urusan jual-beli emas fizikal 999.9. Kami membantu memberi khidmat nasihat kepada para pelanggan kami tentang kaedah menambahkan aset emas mereka dengan menggunakan institusi ar-rahnu yang berdaftar sebagai mekanisma. Bersama-sama ini, kami edarkan model perniagaan yang kami jalankan bersama rakan niaga dan institusi Ar-Rahnu untuk maklumat Tuan/Puan. (sila rujuk lampiran C);

Kami terpanggil untuk memberikan kenyataan akhbar ini supaya EEESB diperiksa secara profesional dengan mengambil kira semua inisiatif dan komitmen yang telah kami tunjukkan dari awal dan meminta agar findings yang tepat dikeluarkan oleh BNM. Tindakan BNM semalam diharap tidak akan menjejaskan kredibiliti dan keyakinan pelanggan terhadap EEESB.

Sekian, terima kasih

Mohd Amin Bin Supian   
Presiden, Etika Emas Estet Sdn Bhd

22 Julai 2009,
5 petang
Pihak Etika Emas Estet Sdn Bhd telah mengadakan kenyataan akhbar bertempat di Malaysia Institute of Management pada jam 3 hingga 4.30 petang yang dihadiri antaranya oleh TV3, Bernama dan The Star. Menurut sumber TV3, rakaman akan disiarkan Buletin Utama malam ini. ***Salinan kenyataan akhbar akan dipaparkan kemudian.***
   
21 Julai 2009,
9 malam
Pihak Etika Emas Estet Sdn Bhd akan mengadakan kenyatan akhbar pada 22 Julai jam 3.00 petang untuk menafikan bahawa Etika Emas Estet Sdn Bhd terlibat dalam pengambilan wang deposit haram.
   
21 Julai 2009,
8 malam
Buletin Utama telah menyiarkan berita bahawa Etika Emas Estet Sdn Bhd dipercayai telah mengambil wang deposit haram dan sedang disiasat oleh BNM dibawah Banking and Financial Institutions Act 1989 (BAFIA).
   
21 Julai 2009, 11.00 pagi Premis Etika Emas di Holiday Villa telah didatangi oleh Unit Siasatan Khas Bank Negara diketuai oleh pegawai penyiasat Encik Aziz. Siasatan telah berlanjutan sehingga pukul 5 petang. Dalam proses ini beberapa dokumen telah diambil untuk membantu siasatan.
****Kami berharap pelanggan Etika Emas.my (Rahsia Pelaburan Emas) tidak membuat sebarang spekulasi dan menunggu berita dan maklumat dari halaman web ini dari semasa ke semasa. Sekian terima kasih.****